Friday, December 17, 2010

Motto dan Lagu PSSGM

 

Motto Silat Seni Gayong

 

Kata Bersahut, Gayong Bersambut




          Ia menyingkap hampir keseluruhan konsep seni beladiri dan kata-kata hikmat dalam Silat Gayong. Sekiranya musuh bersilat menggunakan kata-kata, maka hikmat kebijaksanaan akal dan kepetahan lidahlah yang dipertarungkan. Andaikata seseorang musuh itu bertindak menggunakan kekuatan fizikal, maka serangan tersebut disambut dengan pencak silat atau bergayong.

 
          Murid Gayong tidak mencari musuh tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh, berpantang berundur walau selangkah. Bak kata pepatah Melayu “Membujur lalu Melintang patah”, “Daka daki Ku daki juga”, “Patah sayap Bertongkat paruh”, “Berpantang maut Sebelum ajal ”. Inilah juga antara kata-kata hikmat Silat Seni Gayong.

          
          Dalam ajaran Islam, kepetahan berhujah serta kebijaksanaan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu tuntutan. Meskipun dakwah secara diplomasi menjadi asas utama, namun seni beladiri amat dititikberatkan. Rasulullah S.A.W. menyuruh belajar memanah, berenang dan menunggang kuda kepada orang Islam sebagai latihan peperangan dan pertempuran. Allah S.W.T. sendiri membenarkan tindak balas yang sewajarnya diambil terhadap musuh yang berlaku zalim ke atas umat Islam, bahkan jihad merupakan salah satu kewajipan ke atas setiap individu muslim.

 

Lagu Gayong


Dengan Bismillah mula dikata,
Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia,
Kerana wajib telah ternyata,
Segala perbuatan mahulah diserta.

Seni Gayong payung pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia,
Rahsia tersimpan di purbakala,
Ilham menyusun zahir semula.

Lembaganya bersih nyawanya suci,
Bersatu kepada putera dan puteri,
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.

Gayong mencantum bersatu padu,
Mengingatkan junjungan empunya seru,
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.

No comments:

Post a Comment