Friday, December 10, 2010

Maksud Disebalik Perkataan Gayong



          Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.


          Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:




Gayong Jawi 

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.


Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.


Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri


Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
        


          Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam.
      

     Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong. 

No comments:

Post a Comment