Friday, December 17, 2010

Motto dan Lagu PSSGM

 

Motto Silat Seni Gayong

 

Kata Bersahut, Gayong Bersambut




          Ia menyingkap hampir keseluruhan konsep seni beladiri dan kata-kata hikmat dalam Silat Gayong. Sekiranya musuh bersilat menggunakan kata-kata, maka hikmat kebijaksanaan akal dan kepetahan lidahlah yang dipertarungkan. Andaikata seseorang musuh itu bertindak menggunakan kekuatan fizikal, maka serangan tersebut disambut dengan pencak silat atau bergayong.

 
          Murid Gayong tidak mencari musuh tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh, berpantang berundur walau selangkah. Bak kata pepatah Melayu “Membujur lalu Melintang patah”, “Daka daki Ku daki juga”, “Patah sayap Bertongkat paruh”, “Berpantang maut Sebelum ajal ”. Inilah juga antara kata-kata hikmat Silat Seni Gayong.

          
          Dalam ajaran Islam, kepetahan berhujah serta kebijaksanaan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu tuntutan. Meskipun dakwah secara diplomasi menjadi asas utama, namun seni beladiri amat dititikberatkan. Rasulullah S.A.W. menyuruh belajar memanah, berenang dan menunggang kuda kepada orang Islam sebagai latihan peperangan dan pertempuran. Allah S.W.T. sendiri membenarkan tindak balas yang sewajarnya diambil terhadap musuh yang berlaku zalim ke atas umat Islam, bahkan jihad merupakan salah satu kewajipan ke atas setiap individu muslim.

 

Lagu Gayong


Dengan Bismillah mula dikata,
Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia,
Kerana wajib telah ternyata,
Segala perbuatan mahulah diserta.

Seni Gayong payung pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia,
Rahsia tersimpan di purbakala,
Ilham menyusun zahir semula.

Lembaganya bersih nyawanya suci,
Bersatu kepada putera dan puteri,
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.

Gayong mencantum bersatu padu,
Mengingatkan junjungan empunya seru,
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.

Friday, December 10, 2010

Pengertian Bendera dan Warna PSSGM



Bendera dan warna-warna silat gayong
Bendera Silat Gayong
 
      
  Bendera Gayong dikibar dalam mana-mana majlis rasmi yang melibatkan Silat Seni Gayong. Ia melambangkan kedaulatan organisasi Silat Seni Gayong. Pemilihan warna pada lambang dan bendera Silat Seni Gayong membawa mesej dan falsafah tertentu. Ia memancarkan semangat perjuangan dan inspirasi ahli dan murid Silat Seni Gayong di Malaysia.


  • HITAM
         
          Melambangkan bayang-bayang iaitu persamaan. Ia bermaksud semua manusia di sisi Allah S.W.T. adalah sama. Bagaikan sinaran cahaya berwarna-warni jika dipancarkan kepada objek hitam tetap hitam. Begitulah kedudukan semua ahli dalam Silat Seni Gayong. Pakaian yang disarung dalam latihan atau majlis rasmi juga berwarna hitam, perbezaannya Cuma pada bengkong atau sandang yang menandakan tahap kebolehan dan tanggungjawab atau amanah yang dipikul. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni Gayong mempunyai pelbagai rahsianya (Rahsia tersimpan di purbakala, Ilham menyusun zahir semula)


  • PUTIH

          Bermaksud bersih dan suci. Ia menunjukkan Silat Seni Gayong bebas daripada unsur-unsur syirik dan khurafat. Putih juga melambangkan fitrah kejadian manusia yang memerlukan agama untuk mencorak dan membentuknya. Dalam konteks Silat Seni Gayong, agama Islam ialah ad-Din iaitu pedoman hidup.


  • KUNING
     
          Melambangkan Tanah Melayu ialah negeri beraja dan berdaulat. Murid yang memasuki Silat Seni Gayong dimestikan berikrar taat setia kepada raja-raja Melayu dalam istiadat perlimau sintuk.


  • MERAH
        
           Tanda keberanian dan kepahlawanan. Murid gayong hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Semangat kepahlawanan perlu untuk mempertahankan kedaulatan tanahair daripada penceroboh dan perbuatan durjana. Keberanian yang dimiliki hendaklah atas dasar kebenaran dan tuntutan agama.

Makna Lambang PSSGM

Lambang dan Logo Silat Gayong



          Lambang atau logo Silat Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu.


  • BULAN DAN BINTANG

Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.


  • BUMI

Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.


  • BEJANA AIR

Simbolik kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.


  • HARIMAU

Melambangkan keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.


  • NAGA

Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga  merupakan simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.


  • KERIS BERSILANG

Simbolik kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.


  • PEDANG BERMATA DUA

Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud "Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir" di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.


  • HITAM CHULA VII

Melambangkan Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewenegkan.

Maksud Disebalik Perkataan Gayong



          Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.


          Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:




Gayong Jawi 

Ga - Genggam

Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.


Alif - Angkat

Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.


Ya - Yakin

Yakin kepada kebolehan diri sendiri


Wau - Waras

Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.

Nga - Ngeri

Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
        


          Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam.
      

     Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya. Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong. 

Sejarah PSSGM

 

Sejarah 

 

Silat Seni Gayong dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis(cicit kepada Daeng Kuning/Panglima Hitam). Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.


Selama tiga tahun Meor Abdul Rahman berlatih bersama-sama dengan murid-murid Syed Zainal yang lain. Ketika berusia 18 tahun, Meor Abdul Rahman telah berjaya menguasai selok-belok ilmu Silat Seni Gayong, termasuklah adat-istiadatnya. Walaupun demikian, nenda beliau tidak dapat mengkhatamkannya kerana menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh “orang ghaib” di suatu tempat yang terletak di sempadan negeri Siam-Tanah Melayu.


Ketika beliau berusia 19 tahun, beliau telah dikhatamkan oleh “Datuk Laksamana Hang Tuah” di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu.


Meor Abdul Rahman telah digelar Rahman Sendo oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan dan kependekarannya di hadapan sultan dan pembesar-pembesar istana. Baginda Sultan juga telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehinggalah baginda Sultan mangkat pada tahun 1938.


Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah memperoleh pekerjaan di kem tentera British, iaitu di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di tempat kerjanya, Meor Abdul Rahman turut mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.


Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1942, Meor Abdul Rahman bersama-sama keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, beliau dan keluarganya akhirnya dibenarkan menumpang di pulau tersebut. Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula diperkenalkan semula, iaitu kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong, kerana pada zaman yang tiada undang-undang ketika itu, seni silat amat-amat diperlukan untuk mempertahankan maruah diri dan kaum keluarga.


Setelah Meor Abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman tenteraJepun, barulah Silat Seni Gayong diterima dan diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong.Setelah beberapa ketika berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang semula ke Taiping, Perak,


Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun(lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar lagi. Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi tentera Jepun.


Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.


Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan kepolisian, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran mereka.


Pada tahun 1959, Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato’ Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang kuat gagasan Malayan Union. Dato’ Onn telah melamar untuk menjadi murid Gayong. Dato’ Onn telah mencadangkan agar Silat Seni Gayong ini didaftarkan agar menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Mulai tahun 1959, usaha-usaha telah dimulakan untuk mendaftarkan silat ini, dan akhirnya pada tahun 1963, Silat Seni Gayong telah didaftarkan dengan nama Pertubohan Silat Seni Gayong Malaya dengan nombor pendaftaran 361. PSSGM merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali didaftarkan di Malaysia. Selepas Gayong didaftarkan, perkembangannya menjadi lebih meluas. Dari Singapura, Gayong telah berkembang ke negeri Johor. Pada masa yang sama, Gayong telah dikembangkan di utara tanah air atas daya usaha Meor Abdul Aziz, abang kepada Meor Abdul Rahman,dan jurulatih-jurulatih yang didatangkan khas dari Singapura. Tengku laksamana Kedah, Tunku Kassim, atas titah Sultan Badlishah Kedah telah mengundang Silat Seni Gayong Singapura agar mengadakan persembahan silat di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid di Alor Setar pada tahun 1957.



Sejarah Datuk Meor Abd Rahman (Pengasas Silat Seni GAYONG)
Dato’ Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al – Attas. Hasil perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon Sebelum dilahirkan, bonda beliau telah bermimpi didatangi satu lembaga yang mengkhabarkan anak kandungannya akan menjadi seorang pahlawan yang gagah berani. Meor Abdul Rahman dilahir berkembarkan seekor cacing. Kembar beliau tersebut setelah dibersihkan disimpan dalam sebuah tempurung kelapa jantan, kemudian ia dihanyut ke laut melalui Teluk Kertang, Matang, Perak. Menurut kata bondanya, kelahiran sedemikian adalah petanda awal bahawa Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar yang terbilang.


Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.


Beliau menuntut ilmu persilatan dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam. Tempoh tersebut dikira terlalu lama berbanding rakan – rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau. Ini mengakibatkan beliau sering diejek dan dipersenda umpama buah yang tidak masak oleh rakan – rakan sebaya. Apabila persoalan demikian dikemuka oleh bondanya kepada Syed Zainal al – Attas, jawapan yang diberi ialah cucunda beliau akan dikhatam oleh orang ghaib pada suatu masa di suatu tempat di sempadan Kedah dan Siam. Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.


Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah samam – sama berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.


Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Apabila tiba di rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau meminta izin untuk mandi di sungai di kawasan tersebut. Semasa terlelap di atas sebuah batu besar berwarna hitam di tepi sebatang sungai, suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.


Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda. Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938. Dikalangan rakan-rakanya Meor Abdul Rahman juga digelar ‘ Rahman The Strong Man ’. Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Syah juga pernah mengiktirafkan kebolehan Meor Abdul Rahman sebagai seorang mahaguru.


Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.


Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih 7 orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun yang ingin merampas gadis Pulau Sudong untuk dijadikan pemuas nafsu ganas mereka. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.


Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman pernah ditangkap kerana mencederakan sekumpulan tentera Jepun yang cuba memperkosa isteri pertamanya, Che Kalsom. Beliau kemudiannya dibebaskan setelah sekumpulan pegawai penjara Jepun berjaya ditewaskan dalam satu pergaduhan. Bagi mengelak ancaman tentera Jepun, beliau terpaksa menerima tawaran bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.


Meor Abdul Rahman juga telah menggunakan Silat Seni Gayong untuk menyelamatkan ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.


Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah.


Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.
Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan.


Dalam majlis Perdana Gayong pertama yang telah dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.


Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.


Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak.Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.


Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee. Bruce Lee juga telah mengakui kehandalan Meor Abdul Rahman dan kehebatan Silat Seni Gayong.


Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.


Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.


Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.


Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Kalsom di Hospital Pakar, Ipoh, Perak.

Sesi Latihan



Dijalankan pada setiap hari Sabtu
bertempat di Masjid Al-Khasyi'in Desa Petaling, Kuala Lumpur, 
pada jam 9.00 malam.